Projek Geran Pertanian Pembangunan Tanah Terbiar diwujudkan adalah bertujuan untuk membangunkan tanah terbiar supaya menjadi tanah yang produktif dan memberi pulangan kepada pengusaha selain dapat meningkatkan pengeluaran tanaman makanan memandangkan tanah baharu bagi tujuan pertanian kini adalah terhad.
Untuk tujuan itu, Kerajaan memperkenalkan Geran Pertanian Pembangunan Tanah Terbiar untuk membantu usahawan dan pemilik tanah dengan inisiatif seperti berikut:
- Bantuan secara terhad seperti input pertanian berupa benih, baja, racun, mesin dan peralatan kecil;
- Bantuan bagi pembersihan kawasan yang telah dikenalpasti seperti kerja-kerja perataan tanah;
- Bantuan bagi pembangunan infrastruktur seperti pemasangan sistem pengairan dan saliran serta pembinaan jalan ladang dengan kadar maksimum sebanyak RM20,000/ha secara one-off; dan
- Memberikan khidmat nasihat dan perundingan khususnya aspek teknikal penanaman.
Definisi Tanah Terbiar
Tanah darat atau tanah sawah yang berkeluasan minima 0.4 hektar ke atas sama ada bersambungan atau bertaburan yang merupakan tanah milik yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.
Faktor Tanah Terbiar
Antara faktor yang menyebabkan tanah terbiar adalah seperti berikut:
- Ketiadaan atau kekurangan infrastruktur asas
- Pemilik tanah telah uzur- belia berhijrah ke bandar
- Tanah mempunyai banyak penama- sukar mendapat
persetujuan tuan tanah - Pemilik tinggal di luar kawasan dan sukar dikesan
- Pengusaha yang terlalu bergantung kepada bantuan dan
tidak sanggup mengeluarkan modal
Pengenalpastian Lot Tanah Terbiar
Penentuan lot tanah terbiar yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian adalah mengikut kaedah spatial berasaskan padanan data guna tanah dengan peta kadaster. Maklumat yang diperolehi seterusnya dibuat verifikasi di peringkat lapangan bagi menentusahkan lot tanah terbiar.
Maklumat tanah terbiar adalah dinamik dan sentiasa berubah-ubah dari masa ke semasa berdasarkan:
- Pertambahan kawasan tanah terbiar baru yang memenuhi definasi tanah terbiar.
- Pengurangan kawasan tanah terbiar dengan pelaksanaan projek pembangunan.
Pada tahun 2019, Jabatan Pertanian telah mengenalpasti seluas 103,563 hektar tanah terbiar yang melibatkan 46,382 lot di Semenanjung Malaysia termasuk di Wilayah Persekutuan Labuan.
Pengenalpastian Pemilik Tanah
Berdasarkan maklumat nombor lot dan keluasan tanah terbiar yang dipaparkan, usahawan yang berminat untuk membangunkan tanah terbiar dengan projek pertanian boleh membuat carian rasmi di Pejabat Tanah bagi mengenalpasti pemiliknya.
Kesediaan pemilik tanah untuk memberi kebenaran membangunkan tanah terbiar adalah tertakluk kepada rundingan yang dijalankan di antara usahawan dengan pemilik tanah.
Potensi Tanaman
Bagi mendapatkan maklumat kesesuaian tanaman bagi tanah terbiar yang ingin dimajukan, pemilik tanah/usahawan boleh mendapatkan Khidmat Penyiasatan Tanah daripada Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian. Perkhidmatan ini dikenakan bayaran di bawah ‘Akta Fi tahun 1951 (pindaan 1995)’.
Program Pembangunan Tanah Terbiar
Projek Geran Pertanian Pembangunan Tanah Terbiar diwujudkan adalah bertujuan untuk membangunkan tanah terbiar supaya menjadi tanah yang produktif dan memberi pulangan kepada pengusaha selain dapat meningkatkan pengeluaran tanaman seperti fertigasi cili & timun memandangkan tanah baharu bagi tujuan pertanian kini adalah terhad.
Untuk tujuan itu, Jabatan Pertanian menawarkan khidmat nasihat teknikal dan insentif dengan kadar maksimum berjumlah RM20,000/hektar* secara one-off seperti berikut:
- Pembangunan infrastruktur asas seperti pembersihan kawasan, sistem pengairan dan saliran serta pembinaan jalan ladang; dan
- Bantuan input pertanian berupa benih, baja, racun, mesin dan peralatan kecil.
*Bergantung kepada pengesyoran Pejabat Pertanian Daerah yang terlibat
Permohonan Menyertai Projek Pembangunan Tanah Terbiar
a) Prosedur Permohonan
Pemohon yang mempunyai tanah dan berminat untuk menyertai Projek Pembangunan Tanah Terbiar boleh membuat permohonan di Pejabat Pertanian Daerah dengan mengemukakan dokumen-dokumen berikut:
- Borang Pendaftaran Projek Tanah Terbiar
- Salinan dokumen pengenalan diri
- Salinan hakmilik tanah
- Kertas Cadangan Projek
b) Syarat Kelayakan
- Warganegara Malaysia
- Berumur 18 tahun ke atas
- Mempunyai tanah/surat kebenaran mengguna tanah atau perjanjian sewaan tanah
*Keluasan tanah tidak kurang daripada 2 hektar dan tanaman yang ingin diusahakan adalah tanaman makanan
Rumusan
Projek Pembangunan Tanah Terbiar adalah satu cara terbaik untuk memajukan sumber tanah secara optimum melalui pemulihan dan pembangunan tanah terbiar bagi meningkatkan pengeluaran makanan. Projek ini juga dapat memberi peluang perniagaan kepada usahawan individu dan syarikat yang ingin menceburkan diri di dalam bidang pertanian sebagai sumber pendapatan.