≡ Menu

Kunyit Hitam (Curcuma Caesia)

Kunyit Hitam (Curcuma caesia) merupakan sejenis pokok herba kunyit daripada keluarga Zingiberaceae yang jarang kita jumpa. Tumbuhan ini popular di India sebagai satu daripada bahan rempah untuk dijadikan bahan perubatan tradisional. Setakat ini hanya ada beberapa Stesyen Pertanian dan beberapa individu yang mengusahakan tanaman ubatan sahaja yang menanam dan kenal akan kunyit hitam ini.

Kehebatan kunyit hitam ini kerana ia banyak digunakan dalam perubatan dimana didakwa terdapat 30 komponen atau kandungan penting didalamnya iaitu pati minyak (97.5%) dan komponen lain seperti Camphor (28.3%), Ocemene (8.2%), ar-tumerone (12.5%), ar-cucurmene (6.8%) dan banyak lagi. Bagaimana pun kegunaan utama komponen dari kunyit hitam adalah untuk bahan mandian membersihkan badan dimana sejak dulu lagi telah popular dalam ‘Turkish Bath’. Walau pun kita di Malaysia agak kurang menanam dan mengenali kunyit jenis ini tetapi ramai orang yang memang mencari benih kunyit hitam untuk ditanam bagi tujuan perubatan.

Kunyit hitam merupakan tumbuhan bermusim yang jarang ditemui dinegara kita. Walaupun begitu di Malaysia terdapat dua jenis kunyit hitam yang mempunyai nilai dalam perubatan tradisional iaitu kunyit hitam seperti dalam foto di atas dan kunyit hitam yang mempunyai warna kehitaman pada keseluruhan bahagian pokok. Kunyit hitam yang berwarna hitam pada seluruh bahagian pokok ini varieti yang paling sukar dijumpai. Kunyit hitam ini berdaun agak runcing dengan tangkai daun yang panjang (Sila lihat foto disebelah). Daun yang berwarna hijau dengan jalur dibahagian tengah berwarna coklat hitam ini keluar daripada pangkal rumpun membentuk seperti rosette. Pokok renek ini hanya mempunyai ketinggiannya sekitar 30cm sahaja (1 kaki). Pokok kunyit hitam yang asli ini mempunyai daun yang agak lebar berwarna hijau dengan sedikit palitan kehitaman pada bahagian atas daun. Rizomnya berwarna hitam keseluruhan bahagian dengan ada jenis akar serabut disekelilingnya. Kunyit hitam tersebut sebenarnya sering digunakan oleh pengamal perubatan tradisional Melayu sebagai bahan perubatan berkhasiat.

Penanaman kunyit hitam ini boleh dilakukan diatas tanah yang dibuat batas atau pun didalam pasu sahaja. Ia memerlukan tanah subur yang kaya dengan bahan organik dan mempunyai sistem saliran yang baik. Rizom kunyit akan busuk jika terendam dalam air untuk masa yang lama. Bagi kita untuk mendapatkan benih kunyit hitam ini agak sukar kecuali mencari daripada taman herba atau petani yang menanam tanaman herba atau ubatan.Terkini saya keladang Nasuha di Pagoh dan beliau mengatakan dia memang mempunyai simpanan benih kunyit hitam sebagai koleksinya. Lazimnya pokok ini membiak melalui rizom dan pecahan rumpun. Teknik memilih benih adalah daripada rizom dengan mempastikan tumbuhan yang cukup matang dan belum kering. Pecahkan rumpun dengan mengambil pokok sedia ada dan dipecahkan lagi untuk ditanam. Jarak penanaman sesuai untuk kunyit hitam sekitar 30 – 40 cm dan sepokok bagi setiap pasu penanaman.

Kegunaan kunyit hitam kini telah banyak diperkatakan oleh pengamal perubatan tradisional. Bahagian yang sering digunakan untuk perubatan adalah pada rizomnya tetapi daunnya juga didakwa mempunyai nilai dalam perubatan tradisional (Sila lihat foto sebelah). Rizom kunyit hitam ini dipercayai dapat digunakan dalam rawatan kanser payudara, ketumbuhan pada sendi dan juga penyakit kusta. Rizomnya juga boleh digunakan untuk kuruskan badan. Ia juga dipercayai boleh merawat denggi berdarah. Cara amalannya dimana rizom kunyit hitam akan ditumbuk bersama-sama beberapa jenis herba lain dan dicampur dengan sedikit air dan garam. Campuran tersebut kemudian ditapis dan air diminum oleh pesakit demam denggi berdarah. Walau pun belum ada kajian klinikal mengenai perkara ini tetapi ianya didapati praktial melalui testimoni. Diharap artikel ini sedikit sebanyak memberi pengetahuan tambahan kepada anda pembaca semua.

WNR Agro PLT ada membekalkan benih kunyit hitam yang bermutu tinggi dengan harga yang berpatutan.  Untuk pembelian benih kunyit hitam dalam kuantiti yang banyak boleh hubungi kami.

Sumber: Anim Agro Technology