≡ Menu

Kebaikan Bunga, Buah & Daun Ketapang

Kebaikan Bunga Buah Daun Ketapang

Pokok Ketapang atau nama saintifiknya Terminalia catappa L. tergolong dalam famili Combretaceae. Tumbuhan yang dipercayai berasal dari Asia Tenggara dan biasanya ditanam sebagai pokok hiasan kerana silaranya yang cantik dan memberi teduhan yang agak luas. Kebiasannya dijumpai ditanam di tepi jalan utama dan banyak tumbuh liar di tepian pantai berpasir.

Daun pokok ketapang besar dan lebar. Daun ketapang (Indian Almond Leaves) dikatakan mempunyai khasiat bagi rawatan sakit tulang (Rheutisme) dan juga bertindak sebagai tonik yang mampu menghentikan masalah cirit-birit. Sejauh mana penggunaannya di Malaysia saya tidak pasti.

Daun ketapang juga banyak digunakan dalam industri ikan hiasan di Malaysia. Daun Ketapang (Indian Almond Leaves / Terminalia Catappa) adalah daun yang sesuai untuk arowana dan betta fish kerana air rendaman daun ketapang ini boleh merawat luka-luka pada ikan, mengurangkan stress ikan, merangsang pembiakan ikan & mengembalikan ikan kepada keadaan asal semulajadi airnya yang lebih gelap. Daun ketapang ini boleh mengawal PH value air agar ikan kekal sihat dan bebas dari penyakit.

Bunganya pokok ketapang kecil dan keluar secara berjambak. Walaupun banyak bilangan bunga di dalam satu tangkai, tidak kesemuanya menjadi buah. Biasanya cuma terdapat 3-5 biji sahaja. Buah ketapang berbentuk bujur dan leper. Menurut rujukan, terdapat kira-kira 24 biji buah segar bagi setiap kg.

Buah Ketapang

Buah Ketapang juga dikenali sebagai Indian Almond. Buah Ketapang berwarna hijau ketika muda dan apabila buah masak, warna kulitnya akan bertukar menjadi kuning atau merah mengikut jenis. Anggaran panjang buah lebih kurang 7cm.

Terdapat kajian yang melaporkan biji buah ketapang mengandungi protein mentah (24%) dan banyak kandungan mineral, terutamanya kalium. Minyak yang terdapat dari biji benih mengandungi tahap asid lemak tak tepu yang tinggi. Oleh itu, ia sangat baik untuk kesihatan. Sebelum itu, bijinya perlu dipanggang terlebih dahulu sebelum dimakan.

Pokok ketapang membiak melalui biji benih. Ia mudah disebarkan melalui air kerana ia mampu bertahan dalam jangka masa lama, terapung dan tahan kepada kemasinan air laut. Menurut rujukan, biji benih mula bercambah diantara 1-2bulan sekiranya cuaca dan suhu yang sesuai. Peratus percambahan yang direkodkan adalah lebih dari 50%. Pokok ini juga dikatakan boleh dibiakkan melalui keratan.

Sumber: Segalanya Tentang Tumbuhan & Daun Ketapang