≡ Menu

Fertigasi Cili: Penanaman Cili Menggunakan Sistem Fertigasi Terbuka

fertigasi cili

Fertigasi Cili – Pengenalan

Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Fertigasi adalah gabungan dua perkataan Inggeris iaitu fertilizer dan irrigation. Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga ialah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.

sistem fertigasi
Sumber: Slideshare

Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3–5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Tujuan penggunaan struktur pelindung hujan adalah untuk mengelak baja yang diberikan ke pokok menjadi cair apabila waktu hujan serta mengelakkan penyakit kulat seperti antraknos dan hawar pucuk. Walau bagaimanapun, dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi (Gambar 1) dan cili merah (Gambar 2).

Penyediaan tapak projek fertigasi cili

Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi cili merupaka langkah kritikal dalam menentukan kejayaan sesebuah projek penanaman fertigasi cili. Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih seperti air kolam, tasik, sungai mata air, air bawah tanah (tube well) dan sumber-sumber lain. Kualiti air seperti pH haruslah diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air tersebut boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili ialah 5.5–6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus. Penggunaan air paip juga adalah sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek harus diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama. Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran yang 90 seragam. Selepas selesai kerja-kerja menyiap tapak, silvershine atau weedmat dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi rumpai.

Pemasangan sistem pengairan fertigasi cili

Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 21” x 13’’ bagi polibeg bantal dan 16’’ x 16’’ bagi polibeg tegak adalah disyorkan. Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding dengan polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan lengkap seperti tangki air baja (900 gelen), pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub yang berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Jarak antara baris yang disyorkan ialah 5” manakala jarak di antara polibeg ialah 1.5” dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh diautomasikan dengan pemasangan timer.

Penanaman cili secara fertigasi

Pemilihan varieti
Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi. Bagi pengeluaran cili merah secara fertigasi, varieti yang disyorkan ialah Kulai S469, Kulai 568, Kulai 223, Kulai 151 manakala bagi cili padi pula, cili padi varieti Centel adalah menjadi pilihan utama. Walau bagaimanapun, pemilihan varieti adalah bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi memudahkan aktiviti pemasaran.

Medium tanaman
Medium tanaman yang disyorkan ialah 100% coco peat. Coco peat mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Walau bagaimanapun, bagi pengusaha fertigasi cili di sebelah utara semenanjung seperti negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sekam padi bakar boleh digunakan sebagai medium. Medium sekam padi mudah diperoleh di ketiga-ketiga negeri tersebut dengan harga yang amat berpatutan. Coco peat dimasukkan ke dalam polibeg hitam. Polibeg kemudianya disusun selari dengan paip lateral atau paip pembahagi. Lubang lebihan air dibuat 5 cm diukur dari dasar polibeg. Setiap beg tanaman dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan larutan nutrien dari tangki larutan baja.

Penyediaan anak benih
Biji benih cili yang diperoleh disemai di dalam dulang (tray) semaian dengan 104 lubang plug. Peat moss digunakan sebagai medium percambahan. Kaedah semaian adalah dengan 1 biji benih disemai ke dalam 1 lubang plug. Kemudianya, peat moss 91 dibasahkan dengan air. Percambahan anak yang seragam akan diperoleh selepas 5–7 hari. Selepas bercambah, anak benih dimasukkan ke dalam rumah semaian bagi mengelakkan serangan serangga perosak. Anak benih juga dibekalkan larutan baja secara celupan bagi mendapatkan anak benih yang seragam pembesarannya dan cepat proses pertumbuhannya. Biji benih tambahan diperlukan 10% peratus untuk kerja-kerja penyulaman.

fertigasi cili terbuka

Memindahkan anak benih ke polibeg
Anak benih yang berusia 10–21 hari sedia dipindahkan ke dalam polibeg (Gambar 3). Pada peringkat ini, ketinggian anak benih ialah 10–20 cm dengan 7–10 helai daun. Kerja-kerja memindahkan anak benih dilakukan pada lewat petang bagi mengurangkan tekanan pada anak benih akibat kesan pindah, sekali gus mempercepat proses pemulihan anak benih. Anak benih cili bersama plug peat moss dimasukkan ke dalam lubang yang dikorek pada beg tanaman dan dipadatkan pangkalnya. Anak benih cili ditanam sedalam 3–5 cm dari permukaan coco peat dengan penitis panah diletak di pangkal anak pokok.

Pengurusan tanaman fertigasi cili

Pembajaan
Baja fertigasi cili terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B. Formulasi baja fertigasi cili adalah seperti dalam Jadual 1. Baja yang ditimbang berasingan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Kemudiannya, komponen baja dijadikan stok baja (pati baja) bahagian A dan bahagian B di dalam 100 liter air secara berasingan. Disyorkan supaya larutan stok sentiasa tersedia untuk dicairkan ke dalam tangki larutan baja apabila diperlukan.

Kuantiti komponen bajaTanaman fertigasi cili memerlukan larutan nutrien pada kepekatan yang tertentu di  beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5–4.0. Bagi tanaman cili, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 hingga 2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke polibeg, anak pokok cili diberikan air kosong. Selepas tempoh 24 jam anak pokok cili diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 µS sehingga berusia 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0–2.4 µS sehingga tamat musim penanaman. Semburan daun (foliar) seperti kalsium boron digalakkan bagi mengurangkan kesan kekurangan kalsium pada buah.

Selepas 3 bulan, medium tanaman di dalam beg-beg plastik perlu dibilas dengan air bersih. Ia dilakukan sebulan sekali bagi melarutkan dan seterusnya menyahkan timbun-tambah garamgaram yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama satu jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok. Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman ialah aras keasidan larutan nutrien yang dinamakan pH. Bagi tanaman cili secara fertigasi, pH yang disyorkan sama seperti tanaman lain seperti tomato atau melon iaitu antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.

fertigasi cili weedmat

Membuat sokongan tanaman
Sokongan pada pokok cili perlu dibuat menggunakan pancang berbentuk ‘X’ atau ‘H’. Pancang ini memberikan sokongan pada pokok daripada terbalik terutama pada peringkat buah. Kegagalan menyediakan pancang sokongan akan mengakibatkan pokok tumbang dan ranting patah, ini sekali gus mengurangkan hasil buah cili. Pancang dapat dibuat menggunakan kayu, buluh dan besi. Ketinggian pancang yang sesuai adalah antara 4’–5′ dengan ditanam sedalam 1′.

Penggunaan weedmat dan silvershine sebagai penutup bumi

Weedmat biasanya diperbuat daripada plastik atau kain khas seperti polypropylene. Ia berfungsi dengan menghentikan bekalan cahaya matahari kepada rumpai , sekaligus membunuh mereka.

Weedmat yang berkualiti tinggi akan menyekat pertumbuhan rumpai, dan pada masa yang sama menyediakan saliran yang mencukupi untuk tanah di bawahnya , supaya ia kekal lembap dan subur.

➡ Perbezaan Antara Weedmat & Silvershine

Cantasan
Kerja-kerja cantasan atau membuang tunas air dilakukan selepas 2–3 minggu penanaman. Tunas air ialah tunas yang muncul selepas cabang utama cili. Bagi cili merah, tunas air dibuang kesemua sekali. Ini bagi memastikan nutrien yang dibekalkan dapat digunakan oleh pokok untuk pembesaran dan penghasilan buah. Manakala bagi cili padi, 3–5 tunas air disimpan bagi meningkatkan hasil cili padi.

Kawalan penyakit dan serangga perosak
Penanaman cili secara fertigasi terbuka menghadapi risiko kerosakan yang tinggi akibat serangan penyakit dan serangga perosak. Walau bagaimanapun, kawalan penyakit dan serangga perosak yang dilakukan secara bersepadu menggunakan racun dan kaedah yang betul dapat meningkatkan kadar kejayaan. Antara serangga perosak utama tanaman cili ialah lalat putih (Bemisia tabaci), afid (Aphis gossypii), kutu trip (Thrips sp.), hamama (Polyphagotarsonemus latus), ulat ratus (Spodoptera sp.), ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera) dan lalat buah (Bactrocera latifrons). Manakala penyakit yang sering menyerang tanaman cili fertigasi terbuka ialah lecuh anak benih, antraknos, bintik daun Cercospora, hawar pucuk dan layu bakteria. Pengusaha tanaman fertigasi haruslah berupaya mengenal pasti jenis penyakit dan serangga perosak cili supaya tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan segera (Jadual 2).

Penuaian hasil

Hasil tuaian pertama bagi cili merah adalah sekitar 75 hari selepas mengubah manakala bagi cili padi pula tuaian pertama adalah sekitar 90 hari selepas mengubah (Gambar 4). Kutipan hasil dilakukan dengan selangan 3 hari di peringkat awal dan setiap hari pada peringkat puncak. Prestasi kutipan hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi. Prestasi minimum ini haruslah
dicapai bagi memastikan pengusaha mendapat modal pelaburan dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, hasil cili merah dan cili padi yang boleh melebihi prestasi minimum ini dengan pengurusan tanaman yang betul dan cekap. Kebiasaannya kerja-kerja mengutip hasil dilakukan menggunakan buruh kontrak tempatan dengan kadar upah RM0.50/kg. Buah yang dipetik kemudianya digredkan sebelum dipasarkan.

Jadual 2. Jenis-jenis serangga perosak dan penyakit utama tanaman cili

Jenis-jenis serangga perosak dan penyakit utama tanaman cili

Pengurusan sisa tanaman

Jangka hayat ekonomi bagi tanaman fertigasi cili terbuka ialah 180 hari. Keputusan untuk menamatkan pokok perlu mengambil kira faktor-faktor seperti varieti cili, harga semasa cili di pasaran, tahap kesuburan pokok dan tahap jangkitan penyakit. Langkah penamatan pokok adalah memetik buah cili yang masak termasuklah hijau dan seterusnya, pokok bersama-sama akar dicabut keluar daripada polibeg dan dimusnahkan kesemuanya. Kemudian, kawasan projek dibersihkan.

Kesimpulan

Penanaman fertigasi cili secara terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan ialah satu kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan yang terhad. Dengan
pengurusan tanaman yang berkesan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat menjamin pengeluaran hasil cili yang tinggi. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.

Bibliografi

De Rijck, G. dan Schrevens, E. (1998). Distribution of nutrient and water in
rockwool slabs. Scientia Hort. 72: 277–285
Mahamud, S., Jamaludin, S., Mohamad Roff, M.N., Ab Halim, A.H., Mohamad,
A.M. dan Suwardi, A.A. (2009). Manual teknologi penanaman cili, rockmelon
dan tomato. Serdang: MARDI
Verdonck, O., Penninck, R. and De Boodt, M. (1983). The physical properties of
horticultural substrates. Acta Hort. 150: 155–160

Ringkasan

Teknologi fertigasi cili adalah teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3 hingga 5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan untuk menanam secara fertigasi yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi dan cili merah. Prestasi hasil yang tinggi iaitu 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi dapat meningkatkan lagi pendapatan pengusaha. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.

Pengarang

Yaseer Suhaimi Mohd.
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur
E-mel: ysuhaimi@mardi.gov.my

Mahamud Shahid dan Mohamad Abd. Manas
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur

Abdul Kadir Yusoff
Stesen MARDI Alor Setar, KM 5, Jalan Kuala Kedah, 06600 Alor Setar, Kedah

BACAAN SETERUSNYA

Fertigasi Rockmelon: Teknologi Penanaman Rockmelon... FERTIGASI ROCKMELON: PENGENALAN Aktiviti seterusnya yang saya serta rakan-rakan turut diajar dan di perkenalkan oleh pensyarah iaitu penanaman ...
Petua Pokok Cili Sihat dan Tahan Penyakit Petua Pokok Cili Sihat dan Tahan Penyakit - Pokok cili antara pokok yang sukar untuk ditanam. Bermula ketika proses semaian sehinggalah kepada men...
Fertigasi: Cara Mudah Mengawal Rumpai Konsep asas kawalan rumpai untuk tanaman fertigasi adalah berkenaan dengan pengawalan dan pencegahan pada peringkat awal lagi iaitu sebelum ia men...
Fertigasi Terung: Teknologi Penanaman Terung Secar... FERTIGASI TERUNG: PENGENALAN Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3 – 5 kali ganda berbanding dengan ca...
Fertigasi Misai Kucing: Teknologi Penanaman Misai ... Fertigasi Misai Kucing: Pengenalan Misai kucing atau nama saintifiknya Orthosiphon stamineus merupakan herba berdaun yang popular di Malaysia. ...